Produksi
Melodi: Christy Benedict & Juliyanah Apau
Produser Eksekutif: Gina Yap Lai Yoong
Produser: Phoebe Tsen
Penggubah Muzik: Hezron Diman
Vokal: Silvaranno Kuinzu
Keyboard/Synth: Jayasamry Jaissen Buntang
Bass: Hezron Diman
Gitar Elektrik: Sabastian Kubar
Dram: Raymond Voo
Adunan Muzik: Hezron Diman & Phoebe Tsen
Ilustrasi: Krystal Ng
Video Lirik: Gina Yap Lai Yoong
Mengenai Penulis/Penggubah Lagu
Elizabeth Lasim dilahirkan pada 15 Februari 1954 di Telupid, Sabah. Beliau memulakan pendidikan di Native Voluntary School (NVS), Telupid dan melanjutkan pelajaran di Government Primary School (GPS), Telupid. Beliau telah berkahwin dan dikurniakan lima orang anak. Beliau pernah bekerja di SMK Telupid sebagai tukang masak. Beliau juga pernah terlibat dalam pelayanan penterjemahan Alkitab bahasa Kadazan Labuk dan pelayanan gereja yang lain.
Christy Benedict dilahirkan pada 30 Mei 1977 di Telupid, Sabah. Anak ketiga dari lima orang adik-beradik, beliau mendapat pendidikan di Tadika Telupid, SK. Pekan Telupid dan seterusnya di SMK Telupid. Beliau beribadah di Gereja Anglikan St. David, Telupid. Sejak remaja lagi, beliau aktif dalam aktiviti dan pelayanan gereja. Kini, beliau melayani dalam Pelayanan Multimedia (bahagian skrip & berita) dan Pelayanan Kelompok Sel.
Kisah Di Sebalik Lagu (diceritakan oleh Christy Benedict)
Pada asalnya lagu ini ditulis oleh ibu saya manakala melodinya dicipta oleh saya sendiri. Tadau Maino merupakan sebuah lagu rohani dalam bahasa Kadazan Labuk. Tadau Maino bermaksud ‘hari ini’. Menurut ibu saya, idea untuk mencipta lagu ini datang secara tiba-tiba dan ibu saya percaya bahawa idea atau ilham tersebut datang dari Tuhan.
Lagu ini merupakan satu ungkapan pujian kepada Tuhan yang Mahakuasa, atas pengampunan-Nya dan kerana Dialah Tuhan dan sandaran bagi kita. Visi utama lagu Tadau Maino ialah agar mereka yang mendengar dan menyanyikan pujian ini akan mengenali Tuhan, merasakan kebaikan-Nya dan diberkati. Selain itu, saya juga ingin agar pujian ini dinyanyikan di gereja dan dikongsikan di media sosial agar menjadi berkat bagi orang ramai di samping mempromosikan lagu rohani bahasa tempatan, khususnya bahasa Kadazan Labuk agar ianya akan terus terpelihara dan tidak pupus.
Apabila lagu ini melalui proses demi proses dan suntingan dalam program Song Maker, saya telah membuat suntingan pada lirik manakala melodi beberapa baris lirik bahagian korus telah digubah oleh rakan saya. Saya juga bersyukur atas pertolongan Tuhan bagaimana Dia bekerja dengan luar biasa dan memberkati saya dengan dana yang saya perlukan untuk proses rakaman lagu ini. Tuhan juga memberkati saya dengan penerbit eksekutif dan penerbit serta para pemuzik yang diberkati Tuhan dengan karunia dan kebolehan masing-masing yang telah bekerja keras menghasilkan yang terbaik sehingga lagu Tadau Maino menjadi sebuah lagu pujian yang indah untuk kemuliaan Tuhan.
Perjalanan Christy Benedict Dalam Program Song Maker Anjuran Malaysian Worship Collective
Syukur kepada Tuhan ke atas kesempatan yang Dia berikan kepada saya untuk mengikuti program Song Maker. Perjalanan saya di program ini bermula apabila Gina Yap Lai Yoong, yang juga merupakan penerbit untuk program ini, menghubungi saya dan meminta saya untuk mempromosikan program tersebut. Saya sangat tertarik dengan program ini dan saya juga telah berkongsi dengan beliau bahawa saya dan ibu saya telah mencipta sebuah lagu dalam bahasa Kadazan Labuk. Beliau kemudiannya meminta saya untuk mengongsikan kepada beliau lagu tersebut, sekaligus mendorong saya untuk mengikuti program ini.
Walaupun menghadapi sedikit kekangan dari segi kewangan, dengan pertolongan Tuhan dan bantuan dari pihak Song Maker serta minat yang mendalam, akhirnya saya dapat mengikuti kursus ini. Satu pengalaman yang sangat berharga apabila dapat belajar dengan beberapa peribadi yang hebat dan berpengalaman dalam bidang penulisan lagu dan muzik seperti Juwita Suwito, Gina Yap Lai Yoong, Pastor Wagner Daniel, Terry Yeow, dan Phoebe Tsen. Selain itu, saya juga diberkati dengan tenaga pengajar jemputan seperti Aubrey Suwito, Hezron Diman, dan JD Wong. Banyak perkara yang telah saya pelajari dari mereka.
Saya juga bersyukur, kerana diberkati dengan rakan-rakan baharu yang mengikuti program ini di samping dapat belajar dan saling berkongsi pengalaman dengan mereka. Semua yang telah saya pelajari di Song Maker merupakan satu perlengkapan dan akan membantu saya pada waktu akan datang sebagai penulis lagu dan pastinya akan menjadi satu kenangan yang tidak akan dilupakan.