Produksi
Produser Eksekutif: Gina Yap Lai Yoong
Produser: Phoebe Tsen
Penggubah Muzik: Hezron Diman
Vokal: Cray Maxwell
Suara Latar: Ivy Ong & Jordan Quek
Keyboard & Synth: Christopher Sarapin
Gitar Elektrik: Rento Dinsim
Bass: Hezron Diman
Dram: Neil Nicholas Masrin
Adunan Muzik: Icco Elnoel
Video Lirik: Gina Yap Lai Yoong
Mengenai Penulis/Penggubah Lagu
Cray Maxwell adalah penyanyi dan penulis lagu dari Kota Belud, Sabah. Beliau aktif melayani Tuhan dalam pelayanan pujian dan penyembahan sejak tahun 2008. Beliau adalah salah seorang anggota ‘Vitamin M’ di mana mereka bekerjasama dalam projek ‘Bina Harapan Malaysia’ untuk menulis, menyanyi dan menghasilkan lagu-lagu patriotik. Lagu ‘Malaysiaku’ adalah hasil karya beliau. Pada tahun 2018, mereka mengadakan konsert amal dari utara (Pulau Pinang) ke selatan (Johor) untuk mempromosikan perpaduan dan semangat patriotik untuk Malaysia.
Antara penglibatan beliau dalam pelayanan termasuklah acara Malaysian Gospel Music bersama dengan DUMC Bahasa Worship (2018), Festival Duduk Rumah Konsert bersama dengan Zee Avi, Sada Borneo, dan banyak lagi artis tempatan (2020). Pada tahun 2021, lagu beliau S’gala Hormat dirakam dan diterbitkan dengan kerjasama Four Forty Records dan Komuniti Digital. Lagu kedua untuk tahun 2021 adalah Bersinar ft Rosyten Lapongan.
Kini, Cray melayani di DUMC Bahasa sebagai pemuzik dan pemimpin pujian. Beliau juga seorang kakitangan sepenuh masa di DUMC sebagai Eksekutif Video.
Perjalanan Cray Maxwell Dalam Program Song Maker Anjuran Malaysian Worship Collective
Tujuh tahun yang lalu, saya menyahut panggilan Tuhan untuk ke Semenanjung Malaysia dengan sebuah iman yang Tuhan sedang mempersiapkan sesuatu yang besar bagi hidup saya. Di sini lah Tuhan betul-betul membentuk hati dan perwatakan saya. Saya pernah bertanya kepada Tuhan “Apa tujuan hidup saya?” Yang saya pasti, saat itu, saya perlu bekerja keras untuk berjaya supaya tidak menyusahkan orang tua saya. Tetapi saya mulai sedar ternyata tujuan hidup saya bukan setakat tentang diri sendiri tetapi bagaimana hidup saya menjadi impak dan berkat kepada orang lain.
Dengan talenta yang dikaruniakan Tuhan, saya ingin menjadi alat Tuhan dalam bidang kreatif dan muzik, khususnya untuk memberi inspirasi kepada generasi muda di Sabah dan Sarawak. Saya rindu agar lagu yang diinspirasikan oleh Roh Kudus menerusi saya boleh menjadi impak dan berkat kepada anak-anak Tuhan di seluruh Malaysia. Saya mengambil hal ini dengan serius dan berkeputusan untuk terus belajar dan memperlengkapi diri dalam bidang ini.
Pada tahun 2021, saya menyertai program Song Maker yang dijalankan dengan tujuan untuk memperlengkapi dan melatih para peserta tentang proses penulisan lagu sehinggalah proses rakaman lagu. Terdapat lapan kelas dan topik berlainan yang diajar oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dan luar biasa dipakai Tuhan dalam bidang mereka. Setiap kelas memberi pengalaman dan pemahaman baharu kepada saya sehingga saya amat terdorong dan penuh inspirasi.
Waktu Tuhan selalu yang terbaik. Saya percaya ini adalah waktu Tuhan untuk memperlengkapi saya sebelum saya dapat dibawa ke peringkat yang lebih mendalam dalam pelayanan ini – sama seperti Daud yang dipersiapkan sebelum Tuhan menjadikan dia sebagai seorang raja. Walaupun ini memakan waktu yang mungkin agak lama dalam mata kasar manusia, tetapi saya belajar untuk mencintai proses yang Tuhan berikan. Bak kata Matius 25:21, kalau kita setia dari hal-hal yang kecil, maka Tuhan juga akan mempercayaikan perkara yang besar bagi kita.
Akhir sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua tenaga pengajar, para mentor, dan keluarga Song Maker 2021 – kepada Juwita Suwito, Gina Yap Lai Yoong, Phoebe Tsen, Pastor Terry Yeow, dan Pastor Wagner Daniel. Tidak lupa juga kepada Aubrey Suwito, Hezron Diman, dan JD Wong. Segala jerih payah kamu semua tidak akan sia-sia. Tidak juga saya lupa kepada semua teman-teman pelajar – kalian luar biasa dan terus maju dalam pelayanan. Saya akhiri kesaksian saya dengan sebuah puisi.
Berasal dari negeri di bawah bayu,
Mengejar mimpi takkan ku ragu,
Ini lah panggilan tujuan hidup-ku,
Ini aku, Tuhan, utuslah aku.
Inspirasi tercurah tak kami tahan,
Enam bulan bersama tidak sia-sia,
Lagu pujian bagi kemuliaan Tuhan,
Menjadi berkat di s’luruh Malaysia.