Produksi
Produser Eksekutif: Gina Yap Lai Yoong
Produser: Juwita Suwito
Penggubah Muzik: Alena Tan
Penggubah Vokal: Juwita Suwito
Vokal: Wong Yue Ling
Suara Latar: Bobbe Daimin & Elsie Wong
Piano & Synth: Alena Tan
Gitar Akustik & Elektrik: Marcus Leong
Bass: Caleb Chin
Dram: Immanuel Toysim
Adunan Muzik: Icco Elnoel
Ilustrasi: Esther Anthony
Video Lirik: Gina Yap Lai Yoong
Mengenai Penulis/Penggubah Lagu
Wong Yue Ling berumur 39 tahun adalah berketurunan Sino-Kadazan dan dilahirkan di Kampung Kayai, Membakut, Sabah. Beliau berumahtangga dan mempunyai tiga orang anak. Keluarga beliau kini menetap di Wilayah Persekutuan Labuan.
Seorang Kristian sejak 27 tahun yang lalu, beliau menghadiri dan melayani di Gereja Calvary Charismatic Centre (CCC), Labuan. Beliau terlibat dalam Pelayanan Puji dan Sembah sebagai ketua kumpulan, Sekolah Minggu sebagai tenaga pengajar, dan Kelompok Sel sebagai pengajar.
Yue LIng meminati seni muzik sejak remaja. Minat itu berkembang menerusi penulisan lirik dan lagu rohani, namun pengetahuan dan kemahiran beliau terhad pada tahap asas sahaja. Beliau boleh bermain gitar dan piano secara sederhana. Sekarang beliau sedang belajar untuk bermain dram. Beliau mula berjinak-jinak dengan penulisan lagu sejak tahun 2020.
Perjalanan Wong Yue Ling Dalam Program Song Maker Anjuran Malaysian Worship Collective
Haleluya dan puji syukur kepada Tuhan yang berkuasa kerana atas pertolongan, kekuatan serta ilham dari Nya, saya dapat menuliskan lagu ini.
Lagu ‘Doa Bagi Kota Kami’ adalah sebuah lagu yang menyeru setiap umat untuk datang kepada Tuhan Allah dengan rendah hati dan berdoa untuk penyelamatan, kesejahteraan, dan kesembuhan bagi kota di mana-mana pun kita berada. Lagu ini juga membawa kesedaran tentang keterbatasaan kita sebagai umat manusia di hadapan Tuhan.
Seorang teman saya, yang telah mendengar lagu ini, telah terdorong dan memberi galakan kepada saya untuk mengikuti suatu program yang dinamakan ‘Song Maker’ anjuran Malaysian Worship Collective. Program ini bertujuan untuk memberi bimbingan asas dalam penulisan lagu serta penghasilan lagu rohani. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana lagu demo yang saya hantar terpilih untuk mengikuti program ini.
Kami mempunyai lima orang mentor yang mengajar dan membimbing dengan penuh dedikasi, serta lapan orang pelajar yang terlibat. Tenaga pengajar dari luar juga dijemput untuk mengajar topik yang disediakan dalam program ini – yang memberi input serta pengetahuan bagaimana penghasilan sebuah lagu itu dilakukan di mana selama ini saya tidak pernah ketahui.
Setiap topik yang kami pelajari dan bincangkan selepas tugasan yang diberikan oleh mentor sangat memberikan kesedaran kepada saya terutama apabila melihat dari perspektif lagu dan idea utama lagu yang ditulis. Di bawah bimbingan mentor, lagu yang saya tulis juga diperhalusi terutama dalam penggunaan bahasa yang betul dan tepat. Topik yang diajarkan juga membuka minda saya untuk lebih kreatif dan teliti dalam penghasilan sebuah lagu, di samping membantu menaikkan lagi tahap keyakinan diri saya dalam penulisan sesebuah lagu, terutama untuk dinyanyikan oleh semua orang.
Ketika saya menerima berita bahawa lagu saya telah terpilih untuk mengikuti program ini, saya berasa gembira dan teruja. Saya juga merasa bangga kerana ini adalah suatu pencapaian peribadi yang saya impikan selama ini. Selama mengikuti program ini, saya telah mempelajari banyak perkara dari aspek rohani dan juga pengetahuan. Saya menyedari terdapat perubahan pada cara saya berfikir dan berkomunikasi. Mulanya saya diajar untuk merendahkan diri walaupun pada hakikatnya saya merupakan ketua Puji dan Sembah di gereja yang saya layani. Saya merasakan ini adalah pengalaman yang menyakitkan. Namun dengan ketabahan dan kekuatan yang Tuhan berikan, saya mampu melaluinya.
Saya juga diajar untuk mencipta lagu rohani berdasarkan Alkitab dan memastikan liriknya adalah alkitabiah, maka saya merujuk lirik dan lagu tersebut kepada Gembala Gereja untuk mendapatkan pengesahan daripada beliau. Segala perkara baharu yang saya pelajari juga saya kongsikan bersama dengan ahli-ahli kumpulan Puji dan Sembah di gereja saya sebagai contoh bagaimana untuk mengawal pitch ketika bernyanyi.
Saya juga telah mempelajari banyak pengetahuan tentang cara-cara mengatur lirik dan muzik, termasuk cara penggunaan peralatan muzik dan elektronik dengan lebih berkesan melalui kelas online yang diadakan dari semasa ke semasa. Ini mengajar saya untuk melakukan sesuatu produksi secara online dengan lebih profesional, contohnya penggunaan aplikasi Bandlab dan peralatan audio interface (AI).
Saya mahu bersyukur kepada Tuhan. Pertamanya, kerana semua mentor yang berpenat lelah menyediakan dan mengaturkan para pemuzik, penyanyi dan individu lain yang terlibat dalam industri ini secara profesional untuk mengajar dalam kelas-kelas online dan sepanjang produksi rakaman. Selain itu, mereka telah berjaya menyediakan suatu saluran sehingga ada bakat-bakat baharu yang dapat dicungkil dan diketengahkan.
Kedua, saya bersyukur dapat memberkati orang lain terutamanya ahli kumpulan Puji dan Sembah di gereja saya dengan apa yang telah saya pelajari dari program ini. Ketiga, saya bersyukur kepada Tuhan yang telah membuka jalan dengan cara membangkitkan orang-orang seperti mentor-mentor saya untuk pelayanan seperti ini.
Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada semua mentor yang membimbing serta tenaga pengajar yang dijemput untuk mengongsikan pengetahuan serta pengalaman mereka kepada kami semua. Juga ribuan terima kasih kepada team produksi yang memberi input dari segi muzik yang sangat mantap, ketua mentor dan produser kami, Juwita Suwito, yang mengajar saya dari segi vocal serta membantu sepanjang rakaman berlangsung. Produser eksekutif dan ketua admin kami, Gina Yap Lai Yoong, banyak membantu dalam mengatur pertemuan untuk berbincang hal-hal produksi lagu sehingga selesai.
Saya berharap lagu ini dapat menembusi pasaran lagu-lagu rohani di Malaysia dan adalah satu bonus sekiranya dapat menembusi pasaran di luar negara. Saya mahu melihat lagu ini dinyanyikan oleh orang ramai. Lebih daripada itu, saya bersyukur jika lagu ini boleh membawa orang Kristian bertaubat dan menjangkau jiwa-jiwa yang belum mengenali Tuhan Yesus Kristus.